Tuesday, March 22, 2011

Surat Buatmu Wahai Cik Selsema

Assalamualaikum, 

Kehadapan cik selsema yang dekat di hidung. Semoga dalam keadaan seronok seadanya bermaharajalela disitu. Tujuan sebenar saya menulis surat ini adalah semata-mata untuk memutuskan hubungan kita.

Semenjak perkenalan kita ini, saya rasa kita jelas sekali tidak sepadan. Namun awak  tetap cuba  untuk meyakinkan saya bahawa kita ada kimia. Semakin lama, kehadiran awak semakin membebankan saya. Semua benda yang saya buat jadi tak kena. Awak seringkali ‘menempelkan’ diri awak pada saya, sampai saya rasa rimas.

Kalaulah awak tahu yang saya tak pernah ada perasaan pada awak, awak je yang rasa diri awak tu bagus untuk berdamping dengan saya. Walaupun saya tahu yang saya ni tak berapa nak ‘hensem’ sangat, tapi awak tu pula apa kurangnya. Sudahlah tak cantik, menyusahkan orang pula. Harap awak baca dengan penuh perasaan ya. Saya cuma minta awak sedar bahawa kita tak mungkin dapat berjalan seiringan, apatah lagi makan sepinggan, minum secawan, berak sejamban.

Akhir kata dari saya, anggaplah perpisahan ini penuh dengan rahmat. Kita memang tak ditakdirkan bersama dan sesungguhnya saya tak mahu awak kembali dalam hidup saya. Wassalam.

No comments:

Post a Comment